Ketokohan Umar Al-Khattab Dalam Periwayatan Hadith

Kerja kursus ini dihasilkan bagi memenuhi tugasan Ijazah Sarjana (M.A) Hadith, subjek Tokoh Periwayatan Hadith di USM pada 15 Mei 2017.

Umar al-Khattab


Pendahuluan

Setelah Baginda Nabi s.a.w wafat, Baginda meninggalkan kepada seluruh umat manusia dua panduan yang menjadi penyuluh bagi seluruh umatnya dalam menghadapi mehnah dan ujian.

Ini jelas berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Imam Malik secara mursal, sabda Nabi s.a.w,

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : تركت فيكم أمرين لن تضلوا ما تمسكتم بهما : كتاب الله وسنة رسوله[1]

Maksudnya : Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, selamanya kamu takkan sesat selagi mana kamu berpegang dengannya iaitu kitab Allah dan sunnah rasul-Nya.

Dua kitab ini menjadi panduan dan pentujuk agar perjalanan hidup dari dunia ke akhirat tidak tersesat dan terbabas dari landasan yang sebenar. Malah kedua kitab ini dipelihara sehingga ke hari kiamat sebagaimana firman Allah s.w.t,di dalam surah al-Hijr, ayat ke-9,

إنا نحن نزلنا الذكر وإنا له لحافظون

Maksudnya : Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan al-Dhikr, dan Kami-lah yang memelihara dan menjaganya.

Imam Ibnu Hazm menjelaskan bahawa perkataan “al-Dhikr” ialah kata nama yang merangkumi semua perkara yang Allah s.w.t turunkan ke atas Nabi-Nya s.a.w samada daripada al-Quran ataupun al-Sunnah sebagai wahyu yang menjelaskan al-Quran.[2]

Berdasarkan pemahaman ini, kita telah menyaksikan sejarah periwayatan hadith ini dipelihara oleh sebilangan besar tokoh-tokoh hadith yang muncul di setiap kurun. Bermula dari kalangan para sahabat sehinggalah disampaikan melalui generasi ke generasi hingga ke hari ini.

Malah setiap perawi-perawi hadith ini dikategorikan kepada pelbagai peringkat atau martabat mengikut ketokohan masing-masing. Sebagai contoh Ibn Hajar al-‘Asqalani telah membahagikan perawi kepada 12 martabat yang berbeza.[3]

Setiap perawi ini dinilai berdasarkan keperibadian mereka serta kredibiliti dan ketokohan mereka. Latar belakang mereka dikaji samada secara terperinci ataupun umum bermula dari nama, kunyah, laqab, tarikh lahir dan wafat, keluarga, pujian atau kritikan terhadap mereka dan banyak lagi.

BAB 1 :

LATAR BELAKANG UMAR AL-KHATTAB

1.1 Nama dan latar belakang

 

Umar al-Khattab atau nama penuh beliau ialah Umar bin al-Khattab bin Nufail bin Abd al-Uzza bin Riyah bin Qurd bin Razah bin ‘Adi bin Ka ‘ab bin Lu’ay.[4] Kunyah beliau ialah Abu Hafs[5]. Beliau juga digelar sebagai al-Faruq.[6] Beliau adalah khalifah pertama yang diberi gelaran Amir al-Mukminin.[7] Umar juga tergolong dari kalangan 10 sahabat yang dijamin syurga.

Ibu beliau bernama Hantamah binti Hashim bin al-Mughirah bin ‘Abd Allah al-Makhzumi dari bani Makhzum[8]. Beliau mempunyai abang dari ayah yang sama tetapi berlainan ibu iaitu Zaid bin al-Khattab. Umar lahir 13 tahun selepas tahun gajah.[9]

Umar al-Khattab mempunyai 13 orang anak. 9 orang lelaki dan 4 perempuan. Antaranya Zaid, ‘Abd Allah, Abdul Rahman, ‘Asim, ‘Iyad, Fatimah, Hafsah, Zainab.[10]

Umar datang dari bani ‘Adi, sebuah puak yang bukanlah besar dan tidak terkenal dari kalangan kaum Qurasy. Kedudukan bani ‘Adi jauh lebih rendah berbanding bani Abd Syams, Hashim, Abd Manaf, Makhzum dan Umayyah.

Beliau membesar sebagai pengembala dan membantu ayahnya mengembala. Melonjak usia dewasa, beliau berniaga dan mula mendapat tempat menjadi duta kaum Quraisy dan jurucakap mereka.[11]

Umar memeluk Islam pada tahun keenam kenabian ketika berumur 27 tahun. Kisah keislaman beliau selepas membaca surah Taha di rumah adiknya Fatimah.[12] Direkodkan oleh Ibn Abd al-Barr bahawa Umar memeluk Islam selepas 40 orang lelaki dan seorang perempuan dari kalangan sahabat Nabi s.a.w. Keislaman Umar juga telah merubah corak dakwah Nabi s.a.w dan umat Islam ketika di Makkah. Umat Islam semakin kuat dan berani. Demikianlah makbulnya doa Nabi s.a.w ketika mana Baginda bersabda :

اللهم أعز الإسلام بعمر بن الخطاب

Bermaksud : Ya Allah kuatkanlah Islam dengan Umar bin Al-Khattab.[13]

1.2 Karakter, Fizikal dan Keperibadian Umar

 

Diriwayatkan oleh Ibn Umar bahawa Umar al-Khattab mempunyai tubuh badan yang tinggi. Janggut beliau juga tebal dan rambut beliau sedikit botak dibahagian hadapan. Beliau juga dikatakan beruban dibahagian rambut dan janggut.[14]

Umar al-Khattab juga mempunyai tabiat berjalan dengan laju sepertimana yang direkodkan oleh Imam al-Dhahabi di dalam Siyar. [15]

Umar juga seorang yang suka menginaikan rambut dan janggutnya sepertimana yang diriwayatkan oleh Ibn Umar dan Anas bin Malik.[16]

Dari aspek keperibadian dan akhlak beliau, Umar al-Khattab terkenal sebagai seorang sahabat yang berpewatakan keras, tegas dan adil terhadap orang lain.[17] Beliau akan memberikan hukuman kepada sesiapa sahaja yang didapati bersalah walaupun mereka itu dikalangan para kibar al-sahabah ataupun yang se’bani’ dengan beliau tanpa berselindung.

Ini bertepatan dengan hadith Nabi s.a.w terhadap Umar r.a yang diriwayatkan oleh Ibn Umar r.a,

أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال:  إن الله جعل الحق على لسان عمر وقلبه[18]

Maksunya :  Sesungguhnya Allah menjadikan kebenaran pada lisan dan hati Umar.

1.3 Kewafatannya

 

Umar bin al-Khattab seorang yang mengimpikan untuk mati syahid di jalan Allah s.w.t sepertimana yang diriwayatkan oleh Ibn Umar bahawa pada peperangan Uhad, Umar meminta abangnya menguruskan jenazahnya jika ditaqdirkan syahid. [19]

Umar telah wafat pada tahun 23 hijrah di bulan zulhijjah.[20] Menurut al-Waqidi, beliau syahid setelah di tikam oleh Abu Lu’ lu’ah atau namanya Fairuz, yang merupakan pembantu kepada Al-Mughirah bin Syu’bah.[21]

Berkata Ibn ‘Uyaynah, daripada Yahya bin Sai’d, beliau mendengar Sai’d ibn Musayyib berkata Abu Lu’Lu’ah telah membunuh Umar dan mencederakan 12 yang lain dari kalangan jemaah yang mendirikan solat bersama beliau. 6 dari 12 jemaah turut mati setelah serangan itu.[22]

BAB 2 :

PERJALANAN HIDUP UMAR AL-KHATTAB

 

2.1 Zaman Pemerintahan

 

Umar al-Khattab sebenarnya telah terserlah ketokohan dan kepimpinan sejak peristiwa pemilihan khalifah di Saqifah Bani Sa‘adah di antara kaum ansar dan muhajirin. Pada awalnya, Abu Bakar sendiri yang telah mencalonkan beliau sebagai khalifah bagi memimpin umat Islam.[23] Tetapi akhirnya setelah berbincang, semua kaum ansar dan muhajirin bersepakat untuk berbai‘ah kepada Abu Bakar al-Siddiq r.a.

Umar telah memegang tampuk pemerintahan pada tahun 13 hijrah setelah kewafatan Abu Bakar al-Siddiq. Beliau sendiri telah mencalonkan Umar sebagai penggantinya dan disokong oleh semua sahabat.[24]

Islam pada zaman Umar telah melalui zaman keemasan dan kegemilangan. Berlaku banyak pembukaan kota dan Islam telah tersebar luas sehingga ke utara Syam iaitu Syria dibawah pimpinan Abu Ubaidah al-Jarrah. Parsi atau zaman sekarang lebih dikenali sebagai Iraq dan Iran juga ditawan oleh Khalid bin al-Walid. Malah Mesir dan ibu kotanya ketika itu, Iskandariah, telah di tawan dibawah panglima Amru bin al-‘As[25]. Mereka ini semua adalah para sahabat dan panglima yang dihantar sendiri oleh Umar al-Khattab.

Banyak usaha-usaha pembaharuan yang dilakukan oleh Umar Al-Khattab. Usaha-usaha ini boleh dibahagikan kepada 3 aspek utama, iaitu aspek pentadbiran atau politik, keduanya dari aspek ekonomi, ketiga dari aspek sosial.

Antara usaha-usaha khalifah Umar al-Khattab dari aspek politik dan pentadbiran;[26]

  1.   Pentadbiran wilayah. Wilayah Islam  dibahagikan kepada beberapa bahagian  dan melantik pegawai yang bertugas, iaitu gabenor, setiausaha dan ketua-ketua jabatan. Pegawai yang dilantik  diperiksa  harta dan keperibadiannya untuk mengelakkan berlaku korupsi dan penyalahgunaan kuasa.   Setiap tahun, pegawai itu akan datang ke Makkah untuk membuat laporan.
  2.   Pentadbiran Tanah. Tanah-tanah yang dikuasai oleh tentera Islam  dibahagikan kepada dua jenis, iaitu tanah sawafi ialah tanah tidak bertuan yang ditadbir oleh pemegang-pemegang amanah  yang dilantik daripada golongan  ahl al-Ayyam, iaitu golongan peneroka. Tanah ini tidak boleh dijual beli atau dimiliki sesiapa bagi mengelakkan berlakunya perpecahan dalam kalangan umat islam. Tanah dhimmah pula ialah tanah bertuan yang ditadbir oleh pemiliknya.
  3.   Membentuk Majlis Syura. Majlis Syura ialah lembaga atau majlis perundangan Negara yang ditubuhkan oleh Khalifah Umar al Khattab. Tanggungjawab majlis syura ialah menentukan polisi negara yang berkaitan dengan hubungan luar dan pemerintahan negara. Majlis Syura membincangkan masalah tentang politik, sosial dan keselamatan. Majlis Syura terbahagi kepada dua bahagian iaitu majlis Syura Tertinggi dan Majlis Syura am. Majlis Syura Tertinggi dianggotai oleh  Uthman bin Affan, Abdul Rahman Auf, Ali Abi Talib .[27]
  4.   Mengasaskan al Diwan. Al Diwan merupakan daftar atau buku catatan untuk mencatatkan nama-nama tentera dan keluarga mereka serta jumlah sara hidup masing-masing. Bayaran sara hidup dibuat berdasarkan  jasa sesorang terhadap islam terutama semasa proses perluasan wilayah.
  5.   Mengasaskan Takwim Hijrah. Beliau menjadikan tahun Hijrah Rasulullah s.a.w  ke Yathrib (Madinah) sebagai tarikh permulaan perkiraan calendar bagi umat islam. Pengenalan takwin Hijrah memudahkan catatan peristiwa-peristiwa selepasnya. Takwim ini memudahkan umat islam mengingati sesuatu peristiwa dan membuat catatan mengenainya.[28]

 

Antara usaha-usaha Umar al-Khattab dari aspek ekonomi;[29]

  1.   Penubuhan Baitulmal sebagai badan yang  menguruskan harta kerajaan. Buku kira-kira turut disediakan untuk mengetahui jumlah kewangan negara. Sumber kewangan negara daripada pungutan zakat, jizyah, kharaj, ghanimah.[30]
  2.   Memajukan bidang pertanian dengan membina terusan  dan tali air bagi meningkatkan hasil pertanian  seperti Empangan Abu Musa dan Terusan Amir al-Mukminim di Mesir. Beliau juga mengubah system pungutan cukai yang dikenakan berdasarkan kesuburan tanah dan jenis tanaman.Peraturan yang tidak adil dan membebankan petani dimansuhkan.

 

 

Antara usaha-usaha Umar al-Khattab dari aspek sosial;[31]

  1. Memperkembangkan pelajaran al-Quran. Menyediakan guru-guru untuk mengajarkan al quran. Guru-guru dihantar ke merata-rata tempat dengan ganjaran gaji lumayan. Di peringkat wilayah, sekolah-sekolah telah ditubuhkan di masjid-masjid untuk mengajarkan pelajaran al-Quran. Golongan yang menghafaz seluruh kandungan al-Quran akan diberi ganjaran. Umat islam juga diwajibkan menghafaz surah-surah yang tertentu.
  2.   Memperbaharui taraf dan kedudukan golongan hamba. Dalam hal-hal tertentu, taraf golongan hamba akan disamakan dengan tuannya. Bagi menjaga kepentingan sosial, iaitu taraf dan kedudukan golongan hamba dalam masyarakat, satu perubahaan telah diadakan. Hamba tidak boleh ditindas manakala hamba yang mempunyai keluarga dilarang daripada dipisah-pisahkan.

2.2 Guru-Guru Beliau

 

Guru atau murabbi agung semua para sahabat ialah Rasulullah s.a.w. Ini ma‘ruf dan diketahui umum. Maka guru pertama Umar al-Khattab ialah Nabi Muhammad s.a.w. Diriwayatkan dalam sahih Muslim bahawa Nabi sentiasa bersama Abu Bakar dan Umar. “Aku masuk dan bersama aku Abu Bakar dan Umar, Aku datang dan bersama aku Abu Bakar dan Umar.” [32]

Antara guru beliau juga adalah Abu Bakar al-Siddiq r.a. Ini dapat dibuktikan apabila Abu Bakar menjadikan beliau sebagai orang kanan dan penasihat Abu Bakar ketika zaman pemerintahan beliau.[33]

Guru-guru beliau yang lain adalah ‘Aisyah, Abu Hurairah, Uthman, Ali bin Abi Talib, Abdullah ibn Mas‘ud dan ramai lagi sahabat lain.[34]

2.3 Murid-Murid Beliau

 

Imam al-Dhahabi menyatakan dalam Siyar bahawa antara murid beliau adalah anak beliau sendiri, Ibn Umar. Antaranya lagi Ali bin Abi Talib, Ibn ‘Abbas, ‘Alqamah bin Waqqas, Qays bin Hazm, pembantu Umar iaitu Aslam, Tariq bin Syihab dan ramai lagi.[35]

 

BAB 3 :

UMAR AL-KHATTAB

DAN PERIWAYATAN HADITH

 

3.1 Pendekatan Umar terhadap hadith

 

Diriwayatkan dalam sahih al-Bukhari bahawa Umar sanggup bergilir-gilir dengan jirannya untuk mendengar hadith daripada Nabi s.a.w jika beliau tidak dapat hadir atas urusan yang tidak dapat dielakkan.

Hadis yang dimaksudkan adalah seperti berikut;

فقال : إني كنتُ وجارٌ لي من الأنصارِ في بني أُمَيَّةَ بنِ زيدٍ، وهي من عوالي المدينةِ، وكنا نتناوَبُ النزولَ على النبيِّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم، فينزِلُ يومًا وأنزِلُ يومًا، فإذا نزَلتُ جئتُه من خبرِ ذلك اليومِ من  الأمرِ وغيرِه، وإذا نزَل فعَل مثلَه،[36]

Maksudnya : Sesungguhnya aku dan jiranku dari kaum ansar pada Bani Umayyah bin Zaid dan dia dari kalangan orang atasan Madinah, dan kami saling bertukar-tukar untuk pergi ke (majlis) Nabi s.a.w. Maka dia (jiranku) turun sehari dan aku turun pada hari berikutnya. Jika aku pergi ke (majlis Nabi s.a.w) maka aku akan pergi kepadanya (jiranku) dan mengkhabarkan apa yang ku dengari dan jiranku juga melakukan perkara yang sama.

Di sini jelas menunjukkan kesungguhan dan kegigihan Umar dalam mempelajari hadith dan sunnah Baginda Nabi s.a.w.

 

3.2 Keupayaan Umar mengkritik matan hadith

 

Sebagai sahabat Nabi yang kedua tertinggi setelah Abu Bakar (dari sudut ketokohan), sudah pasti Umar mempunyai keupayaan mengkritik hadith Nabi s.a.w jika beliau dapati terdapat padanya kecacatan atau kelainan.

Ini jelas berdasarkan hadith Fatimah binti Qays berkenaan isu talak tiga dan Umar menegurnya. Perkara ini direkodkan dalam sunan al-Tirmidhi,

قالتْ فاطمةُ : طلّقَنِي زوجِي ثلاثا على عهدِ رسولِ اللهِ صلى الله عليه وسلم فقال رسولُ اللهِ : لا سُكْنَى لكِ ولا نفقة ، فذكرتهُ لإبراهيم فقال : قال عمرُ : لا ندعُ كتابَ اللهِ وسنةَ نبيهِ لقولِ امرأةٍ لا ندرِي أحفظتْ أم نسيتْ ، وكان عمرُ يجعلُ لها السكنَى والنفقةَ[37]

Maksudnya : Telah berkata Fatimah binti Qays: Suamiku telah menceraikan aku dengan talak tiga pada zaman Nabi s.a.w  dan berkata Rasulullah s.a.w : Tiada tempat tinggal untukmu dan tiada nafkah. Maka diceritakan kepada Ibrahim maka dia berkata : Berkata Umar r.a : Kita tidak meninggalkan Kitab Allah dan Sunnah Nabinya berdasarkan kata-kata perempuan ini (Fatimah). Kita tidak tahu samada dia menghafalnya atau dia lupa. Dan Umar memberikan dia tempat tinggal dan nafkah.

 

Isu ini juga telah diperbahaskan oleh ulama. Sememangnya pandangan Umar itu tepat berdasarkan ayat pertama dari surah al-Talaq :

لا تخرجوهن من بيوتهن ولا يخرجن إلا أن يأتين بفاحشة مبينة

Maksunya : “Janganlah kamu mengeluarkan mereka dari rumah-rumah kediamannya (sehingga selesai idahnya), dan janganlah pula (dibenarkan) mereka keluar (dari situ), kecuali (jika) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata”

Antara ulama yang menyokong pandangan ini juga ialah Hassan al-Basri, ‘Ata bin Abi Rabah, Sufyan al-Thawri.[38]

 

3.3 Manhaj Umar dalam periwayatan hadith

 

Antara manhaj Umar dalam periwayatan hadith dari kalangan para sahabat adalah beliau akan memastikan kesahihan cerita tersebut dengan mendatangkan saksi.

Satu peristiwa di mana Abu Musa al-Asy‘ari telah mengetuk rumah Umar al-Khattab tetapi Umar tidak menjawab. Setelah mengetuk dan memberi salam sebanyak tiga kali tanpa jawapan, Abu Musa beredar pergi dari rumah Umar.

Keesokan harinya, Abu Musa telah bertemu Umar lalu Umar menyatakan bahawa sewaktu rumahnya diketuk, beliau sedang sibuk. Umar bertanya kepada Abu Musa: Kenapa tidak kamu terus meminta izin sehingga kamu diizinkan? Abu Musa menjawab: Aku meminta izin seperti yang aku dengar daripada Rasulullah s.a.w.

Umar terus marah dan bertegas bahawa Abu Musa perlu membawa saksi agar terbukti ia memang ajaran Rasulullah s.a.w. Ini bermakna Umar tidak tahu tentang cara meminta izin masuk sebanyak tiga kali yang dilakukan oleh Abu Musa itu adalah sunnah daripada Rasulullah s.a.w.

Lalu Abu Musa telah meminta bantuan sahabat-sahabat lain yang pernah mendengar hadith itu untuk memberikan sokongan agar Umar mempercayainya. Maka Abu Sa‘id al-Khudri telah menyatakan kesanggupannya lalu mereka berdua telah pergi menemui Umar untuk mengesahkan tentang hadith itu.[39]

Persitiwa ini tidak bermakna Umar tidak mempercayai Abu Sa ‘id kerana beliau tidak benar. Tetapi inilah manhaj Umar yang inginkan kepastian agar sesuatu itu benar-benar disahkan sebagai sunnah sebelum diambil atau diamalkan. Semoga Allah s.w.t merahmati para sahabat yang terlalu berhati-hati dan ini menyebabkan sunnah terpelihara tanpa tambahan atau pengurangan.

Bahkan Umar pernah memberi amaran agar sahabat-sahabat yang ingin menyampaikan hadith agar berhati-hati. Begitu juga pesanan itu diteruskan oleh sahabat-sahabat yang lain setelah kewafatan Umar.

3.4  Sanad paling sahih dari Umar

 

Sanad yang paling sahih daripada Umar ada 2 riwayat menurut Imam al-Dhahabi. Pertama, daripada Al-Zuhri, daripada Ubaidillah bin Abdullah  bin Utbah, daripada Ibn Abbas, daripada Umar. Kedua, daripada Al-Zuhri, daripada Al-Saib bin Yazid, daripada Umar.[40]

 

Kesimpulan

 

Rumusan dari penulisan ini, penulis berpandangan bahawa Umar al-Khattab merupakan seorang tokoh sahabat yang agung. Jasa beliau kepada Islam amat besar dan tidak terbalas. Kewibawaan dan ketokohan beliau sebagai seorang khalifah dan pemimpin diakui dan diiktiraf oleh ‘ulama ahl al-sunnah wa al-jama‘ah.

Keislaman Umar telah memberikan satu impak kepada umat Islam. Berkata Ibn Mas‘ud bahawa hari Islamnya Umar, 40 orang lelaki dan 11 orang perempuan turut mengikuti beliau memeluk Islam.[41]

Telah berlaku banyak pembukaan kota dan perluasan wilayah ketika zaman pemerintahan Umar[42]. Tanpa usaha dan titik tolak dari beliau, barangkali Islam tidak akan sampai ke bumi Nusantara ini.

Semoga kita dapat mencontohi keperibadian dan ketokohan beliau dan Allah s.w.t menemukan kita dengan Umar al-Khattab dan para sahabat r.a yang lain bersama-sama dengan Baginda Nabi s.a.w di syurga kelak.

 

[1] Malik bin Anas, Al-Muwatto’, no Hadith 1395, dihukum Hasan oleh Al-albani.

[2] Ibn Hazm, Al-Ihkam fi Usul al-Ahkam, Jil 1, hlm 122

[3] Ibn Hajar al-‘Asqalani, Taqrib al-Tahdzib, Muassasah al-Risalah, Dimasyq, 2013, Cet 1, hlm 36

[4] Ibn Hajar al-‘Asqalani, Taqrib al-Tahdzib, Muassasah al-Risalah, Dimasyq, 2013, Cetakan 1, hlm 568.

[5] Ibid

[6] Al-Dhahabi, Siyar A’lam Al-Nubala, Mu’assasah Al-Risalah, Beirut, 1996, Cet 1, hlm 71

[7] Ibn ‘Abd al-Barr, Al-Isti‘ab fi Ma‘rifah al-Ashab, Dar al-Ma‘rifah, Beirut, 2012, Cet 2, hlm 552

[8] Ibn ‘Abd al-Barr, Al-Isti‘ab fi Ma‘rifah al-Ashab, Dar al-Ma‘rifah, Beirut, 2012, Cet 2, hlm 551

[9] Ibid

[10] Muhammad Abdul Qadir Abu Faris, Thullah min al-Awwalin, Dar al-Arqam, Amman, 1987, hlm 31

[11] Ibid

[12] Ali al-Sollabi, Al-Sirah al-Nabawiyah, Maktabah Fayyad, Mansurah, 2007, hlm 192

[13] Munir al-Ghadban, Al-Manhaj Al-Haraki li al-Sirah al-Nabawiyah, Dar al-Wafa’, Mansurah, 2008, Cet 16, hlm 70

[14] Al-Dhahabi, Siyar A’lam Al-Nubala, Mu’assasah Al-Risalah, Beirut, 1996, Cet 1, hlm 71

[15] Ibid

[16] Ibn ‘Abd al-Barr, Al-Isti‘ab fi Ma‘rifah al-Ashab, Dar al-Ma‘rifah, Beirut, 2012, Cet 2, hlm 552

[17] Ibid

[18] Ahmad bin Hanbal, Musnad, No Hadith : 2/84. Hakim, Mustadrak, No Hadith : 3/86

[19] Muhammad Abdul Qadir Abu Faris, Thullah min al-Awwalin, Dar al-Arqam, Amman, 1987, Cet 1, hlm 37

[20] Ibn Hajar al-‘Asqalani, Taqrib al-Tahdzib, Muassasah al-Risalah, Dimasyq, 2013, Cetakan 1, hlm 568.

[21] Ibn ‘Abd al-Barr, Al-Isti‘ab fi Ma‘rifah al-Ashab, Dar al-Ma‘rifah, Beirut, 2012, Cet 2, hlm 554

[22] Ibid

[23] Ali al-Sollabi, Al-Sirah al-Nabawiyah, Maktabah Fayyad, Mansurah, 2007, hlm 1067

[24] Ali al-Sollabi, Umar al-Khattab, Maktabah Fayyad, Mansurah, 2007, hlm 115

[25] Ibn ‘Abd al-Barr, Al-Isti‘ab fi Ma‘rifah al-Ashab, Dar al-Ma‘rifah, Beirut, 2012, Cet 2, hlm 552, Lihat juga Ali al-Sollabi, Umar al-Khattab, Maktabah Fayyad, Mansurah, 2007, hlm 250

[26] Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia, (Atas Talian), (Akses 17 Mei 2017), Kutipan daripada http://cikgustpm.blogspot.my/2016/02/sumbangan-khalifah-umar-al-khattab.html

[27] Muhammad Abdul Qadir Abu Faris, Thullah min al-Awwalin, Dar al-Arqam, Amman, 1987, Cet 1, hlm 109

[28] Ibn ‘Abd al-Barr, Al-Isti‘ab fi Ma‘rifah al-Ashab, Dar al-Ma‘rifah, Beirut, 2012, Cet 2, hlm 552

[29] Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia, (Atas Talian), (Akses 17 Mei 2017), Kutipan daripada http://cikgustpm.blogspot.my/2016/02/sumbangan-khalifah-umar-al-khattab.html

[30] Ali al-Sollabi, Umar al-Khattab, Maktabah Fayyad, Mansurah, 2007, hlm 180

[31] Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia, (Atas Talian), (Akses 17 Mei 2017), Kutipan daripada http://cikgustpm.blogspot.my/2016/02/sumbangan-khalifah-umar-al-khattab.html

[32] Muslim, Sahih Muslim, Muassasah al-Risalah, Dimasyq, 2014, cet 1, No Hadith : 6178, , Kitab Fadha’il al-Sahabah, Bab Min Fadha’il Umar r.a

[33] Ali al-Sollabi, Abu Bakr al-Siddiq, Dar al-Ma‘rifah, Beirut, 2006, Cet 5, hlm 120

[34] Al-Dhahabi, Siyar A’lam Al-Nubala, Mu’assasah Al-Risalah, Beirut, 1996, Cet 1, hlm 71

[35] Ibid

[36] Al-Bukhari, Sahih Al-Bukhari,Muassasah al-Risalah, Dimasyq, 2014, Cet 2, Jilid 2, Hlm 351, No hadith : 5191, Kitab al-Nikah, Bab Mau‘izoh al-Rajul Ibnatahu li Hal Zaujiha

[37] Al-Tirmidhi, Sunan al-Tirmidhi, Muassasah al-Risalah, Dimasyq, 2015, Cet 1, Hlm 549, No hadith : 1180, Abwab al-Nikah, Bab Ma Ja’a fi Haqqi al-Mar’ah ‘ala Zaujiha

[38] Muhammad bin ‘Abd al-Rahman al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwadhi Syarah Jami’ al-Tirmidhi, Dar al-Kutub al-‘ilmiah, no Hadith : 1180

[39] Hatim al-Syarif al-‘Auni, al-Manhaj al-Muqtarah Li Fahmi al-Mustolah, Dar al-Hijrah, Riyadh, 1996, Cet 1, hlm 75

[40] Ahmad Syakir, Al-Musnad lil Imam Ahmad, Dar al-Hadith, Al-Kaherah, 2012, hlm 180

[41] Muhammad Abdul Qadir Abu Faris, Thullah min al-Awwalin, Dar al-Arqam, Amman, 1987, Cet 1, hlm 37

[42] Ibn ‘Abd al-Barr, Al-Isti‘ab fi Ma‘rifah al-Ashab, Dar al-Ma‘rifah, Beirut, 2012, Cet 2, hlm 552

Leave a comment