Ziarah Kubur Hari Raya; Antara larangan & keharusan

kubur

Bismillah al-Rahman al-Rahim.

Pertama, hari raya merupakan hari umat Islam menzahirkan kegembiraan, bertakbir membesarkan Allah s.w.t, bersyukur atas segala nikmat kurniaan Allah. Malah pada hari ini, kita diizinkan dan diharuskan untuk berhibur selagi mana dalam lingkungan patuh syariah.

Sepertimana yang diriwayatkan di dalam hadith ‘Aisyah r.a bahawa pada hari aidil fitri, Abu Bakr masuk ke rumah ‘Aisyah dan Nabi s.a.w berada di sisinya. Ketika itu ada dua orang gadis sedang menyanyi mengenai kebangsaan Ansar pada hari Bu’ath iaitu peperangan antara Aus dan Khazraj. Abu Bakr berkata “suara Syaitan”. Lalu Nabi s.a.w bersabda :

يا أبا بكر إن لكل قوم عيدا وهذا عيدنا

[1]

“(Biarkan mereka) wahai Abu Bakr! Setiap kaum ada hari raya dan sesungguh hari ini adalah hari raya kita”. Riwayat ini direkodkan secara khusus di dalam sahih Muslim, bab keringanan (kebenaran) bermain permainan yang tiada padanya maksiat pada hari raya.

Kedua, kita juga perlu bahawa hukum asal menziarahi kubur itu pada asalnya adalah sunat.[2] Bahkan sentiasa mengingati mati adalah digalakkan. Sabda Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh al-Tirmidhi dan Muslim :

[3]قد كنت نهيتكم عن زيارة القبور فقد أذن لمحمد في زيارة قبر أمه فزوروها فإنها تذكر الآخرة

“Dulu aku menghalang kamu daripada menziarahi kubur, maka (sekarang) telah diizinkan kepada Muhammad untuk menziarahi kubur, maka ziarahilah, kerana ia boleh menjadikan kamu zuhud terhadap dunia dan mengingati akhirat.”

Juga sabda Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidhi dan Ibn Hibban :

أكثروا من ذكر هاذم اللذات الموت

[4]

“Perbanyakkan mengingati terhadap perkara yang menghilangkan kelazatan hidup, iaitu kematian”

 

Ketiga, berdasarkan dua perkara di atas, menziarahi kubur pada hari raya telah dibincangkan oleh para ulama. Isu ini boleh dibahagikan kepada dua pandangan;

Pandangan pertama : Perbuatan ini tidak dibenarkan, bahkan dianggap bid’ah kerana tidak bersumberkan dari ajaran Nabi s.a.w. Antara ulama yang berpegang dengan pendapat ini ialah Imam al-Albani. Imam Khatib al-Syarbini juga menjelaskan bahawa tidak dibenarkan kita bermusafir semata-mata hendak menziarahi kubur kecuali kubur Nabi s.a.w. Berkumpul beramai-ramai di kubur hingga duduk di atas kubur orang lain juga dilarang.[5] Imam Ibn Taimiyah juga berkata bahawa tidak boleh bergembira atau berseronok diperkuburan seakan mengadakan perayaan atau keraian beramai ramai.[6]

Pandangan kedua : Perbuatan ini harus kerana tiada larangan khusus, malah di sokong dengan dalil umum tentang keharusan menziarahi kubur pada bila-bila masa. Antara ulama yang berpandangan sebegini ialah mantan mufti Jordan, Dr Nuh al-Qudhah. Ini juga pandangan di dalam mazhab Hanafi.

 

Saya berpandangan bahawa hukum menziarahi kubur di hari raya adalah diharuskan. Ini kerana terdapat dalil umum keharusan menziarahi kubur, tiada larangan secara khusus dan galakkan sentiasa mengingati hari akhirat.

Tetapi di sini suka untuk kami gariskan beberapa panduan semasa meziarahi kubur :

  1. Tidak bercampur antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram.
  2. Tidak meratap meraung di perkuburan.
  3. Tidak melakukan amalan syikir seperti meminta doa dan pertolongan dari kubur.
  4. Tidak mengkhususkan perjalanan semata-mata untuk menziarahi kubur.
  5. Tidak duduk atas kubur orang lain.
  6. Tidak mengadakan perayaan, membawa makanan dan berseronok di perkuburan.

Tambahan pula jika mempercayai perbuatan menziarahi kubur menjadi satu kemestian atau kewajipan di hari raya, atau percaya akan mendapat kelebihan dan fadilat tertentu, serta terikat dengan kaifiyat, tatacara dan bacaan tertentu, maka ianya adalah dilarang.

Kesimpulannya, menziarahi kubur pada hari raya adalah dibenarkan dengan menjaga batasan syarak yang digariskan. Semoga penulisan ini dapat merungkai isu perbezaan atau khilafiyah di dalam masyarakat dan saling merapatkan ukhuwwah dan kesatuan umat.

 

 

[1] Muslim, Sahih Muslim, Kitab Solah al-‘Aidain, Bab al-Rukhsah fi al-La’ab alladzi la Ma’siyah Fihi fi Ayyam al-‘Eid, No Hadith : 892.

[2] Ulama bersepakat bahawa menziarahi kubur adalah sunat untuk lelaki. Tetapi untuk kaum wanita :

  1. Mazhab Hanafi berpandangan bahawa sunat
  2. Jumhur ulama termasuk 3 mazhab yang lain berpandangan bahawa makruh

Ini seperti yang dijelaskan di dalam mughni al-Muhtaj karangan Khatib al-Syarbini dan Syarah Bulugh al-Maram oleh Abdullah Bassam (483/50)

[3] Al-Tirmidhi, Sunan al-Tirmidhi, Abwab al-Janaiz, Bab Ma Ja‘a fi al-Ruskhsah fi Ziarah al-Kubur, Ho Hadith : 1054, Lihat juga Muslim riwayat Buraidah, No Hadith : 2261 tanpa lafaz فقد أذن لمحمد في زيارة قبر أمه

[4] Abdullah Bassam, Taudih al-Ahkam Min Bulugh al-Maram, Kitab al-Janaiz, No Hadith : 434/1, Hadith sahih. Turut diriwayatkan oleh al-TIrmidhi, al-Nasaei, dan Ibn Hibban.

[5] Khatib al-Syarbini, Mughni al-Muhtaj, Jil 1, ms 542

[6] Abdullah Bassam, Taudih al-Ahkam Min Bulugh al-Maram, Kitab al-Janaiz, No Hadith : 483/50

Leave a comment