Hadis 3 : Islam [Arbai’n An Nawawi]

sampaikan-walau-satu-ayat

HADIS KETIGA

عَنْ أَبِي عَبْدِ الرَّحْمَنِ عَبْدِ اللهِ بْنِ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا قَالَ : سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله وسلم يَقُوْلُ : بُنِيَ اْلإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ : شَهَادَةُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَأَنَّ مُحَمَّداً رَسُوْلُ اللهِ وَإِقَامُ الصَّلاَةِ وَإِيْتَاءُ الزَّكَاةِ وَحَجُّ الْبَيْتِ وَصَوْمُ رَمَضَانَ

[رواه الترمذي ومسلم ]

   Maksud hadis / ترجمة الحديث :

 Dari Abu Abdurrahman, Abdullah bin Umar bin Al-Khattab radiallahuanhuma beliau berkata: Saya mendengar Rasulullah Sallallahu’alaihi wasallam bersabda : Islam terdiri diatas lima perkara; Bersaksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah dan bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, melaksanakan haji dan puasa Ramadhan. (Riwayat Tirmidzi dan Muslim)

Pelajaran yang terdapat dalam hadis / الفوائد من الحديث :

Rasulullah Sallallahu’alaihi wasallam mengibaratkan Islam sebagai sebuah bangunan yang kukuh dan teguh diatas tiang-tiang yang mantap. Pernyataan tentang keEsaan Allah, pengakuan kenabian Muhammad Sallallahu’alaihi wasallam,  merupakan asas yang paling penting berbanding rukun-rukun yang lainnya kerana ini berkaitan dengan hakikat aqidah itu sendiri.

Selalu mendirikan solat dan menunaikannya secara sempurna dengan syarat rukunnya, menjaga adab-adabnya dan sunnah-sunnahnya dapat memberikan buah (hasil) dalam diri seorang muslim. Dengan mendirikan solat, seseorang muslim itu akan meninggalkan perbuatan keji dan munkar kerana solat mencegah seseorang dari perbuatan keji dan munkar.

Wajib mengeluarkan zakat dari harta orang kaya lalu diberikan kepada orang-orang fakir dan yang memerlukannya. Wajib menunaikan ibadah haji dan puasa (Ramadhan) bagi setiap muslim.

Rukun-rukun Islam ini saling berkait antara satu sama lain. Siapa yang mengingkarinya maka dia bukan seorang muslim berdasarkan ijma’. Nas diatas jelas menunjukkan bahawa rukun Islam ada lima, dan sebenarnya masih banyak lagi perkara lain yang penting dalam Islam yang tidak ditunjukkan dalam hadis.

Rasulullah Sallallahu’alaihi wasallam bersabda:

“Iman itu terdapat lebih dari tujuh puluh cabang”

Islam adalah aqidah dan amal perbuatan. Tidak bermanfaat amal tanpa iman dan tidak bermanfaat iman tanpa amal .

Leave a comment